DI SAAT stesen televisyen milik kerajaan RTM bersungguh-sungguh menyiarkan upacara pengebumian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ada sesuatu kurang enak dilihat menerusi stesen televisyen swasta nombor satu negara, TV3, pagi ini.
Bayangkan di kala rakyat Malaysia sedang berduka, TV3 menyiarkan program hiburan ulangan Mentor Legend yang secara jelas menunjukkan aksi ‘terkinja-kinja’ dan berseronok di atas pentas.
Bagi kami, pemergian Nik Aziz merupakan satu kehilangan yang cukup besar sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun memberhentikan seketika ucapannya dalam sebuah majlis sebaik sahaja mendengar perkhabaran tersebut.
BACA: PM Berhenti Berucap, Sedekah Al-Fatihah Untuk Nik Aziz
Jika pihak TV3 tidak dapat menyiarkan upacara pengebumian secara langsung seperti yang pernah dilakukan semasa hari berkabung untuk mangsa nahas pesawat MH17 sebelum ini, apa salahnya jika program hiburan dihentikan seketika dan digantikan dengan bacaan doa.
Justeru, satu teguran telah dibuat menerusi Facebook Warga Prihatin yang meminta agar TV3 menghormati perasaan rakyat Malaysia pada ketika ini. – MYNEWSHUB.CC

TEGURAN BUAT TV3 – HORMATILAH PERASAAN SEDIH RAKYAT MALAYSIA
Hari ini hari jumaat. Ketika ini puluhan, mungkin ratusan ribu rakyat Malaysia sedang berada di Pulau Melaka, Kelantan untuk menghadiri upacara pengkebumian ALLAHYARHAM TGNA. Suasana amat sebak dan pilu sekali.
Jutaan lagi Rakyat Malaysia sedang khusyuk mengikuti upacara ini sebagai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham TGNA. Admin diminta untuk merakam siaran langsung upacara itu bagi memberi peluang mereka yang tidak berkesempatan untuk mengikutinya melalui rakaman.
Entah kenapa hati begitu kecewa dan kesal apabila TV3 yang biasanya sibuk membuat liputan berita utama sebegini tidak ghairah langsung untuk berkongsi berita melalui siaran langsung untuk upacara ini.
Yang lebih mengecewakan ialah saat ini, ketika jenazah diusung ke pusara, TV3 tanpa segan silu menyiarkan program hiburan yang bagi kami sangat menjolok mata. Ia amat mengganggu suasana berkabung yang sedang melanda jiwa kita saat ini.
Sesiapa yang ada ‘kuasa’ silalah nasihatkan TV3 sekarang juga. Sekalipun ‘tiada bajet’ untuk membuat liputan langsung, mungkin tiada sponsor, tetapi janganlah siarkan program hiburan yang riuh rendah dan menjolok mata itu. Hentikanlah sekarang juga…
YA… HENTIKANLAH SERTA MERTA.. KAMI POHON.. KAMI RAYU SANGAT-SANGAT. Kenanglah jasa TGNA. Jika tidak mahu mengenang pun, hormatilah perasaan orang lain. Inilah kali terakhir kesempatan yang ada untuk menzahirkan penghormatan itu.
TAHNIAH TV1 & KELANTAN TV
Kami khusyuk memikirkan, terasa sebak juga di hati kerana gembira melihat kerjasama antara TV1 dan Kelantan TV sewaktu mengikuti siaran langsung ini sekarang.
Mungkinkah ini pertanda baik untuk penyatuan Umat Islam selepas ini? Jika benar, kami adalah antara segolongan marhaen yang akan merasa AMAT BERSYUKUR SEKALI. Sama-samalah kita berdoa.
INNALILLAHIWAINNA ILAIHIROOJIUN
Ikhlas dari
WARGA PRIHATIN.
Oleh: Elza

