KUALA LUMPUR – Sejumlah 55,974 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) melibatkan 89 projek telah diluluskan setakat 31 Ogos, kata Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.
Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 9,254 unit iaitu 17 projek adalah dalam kategori ‘siap’, 23,256 unit iaitu 36 projek dalam proses pembinaan dan 23,464 iaitu 36 projek dalam kategori ‘lulus perintah pembangunan’.
“Daripada jumlah projek yang telah diluluskan itu, sebanyak 53 projek telah dibuka penawaran melibatkan 35,266 unit dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM9 bilion.
“Sebanyak 19,333 unit melibatkan 40 projek telah berjaya dijual manakala baki sebanyak 15,933 unit melibatkan 13 projek masih di peringkat awal permohonan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian jualan dan permulaan kerja bangunan Rumawip Residensi Rampai II di sini, hari ini.
Katanya walaupun projek Rumawip merupakan inisiatif kerajaan terdahulu, ia tetap diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang berpandangan ia sebenarnya berjaya dilaksanakan dan disampaikan kepada rakyat tanpa sebarang peruntukan langsung daripada pihak kerajaan.
“Walau bagaimanapun, kami juga turut akan melakukan beberapa pengubahsuaian dan penambahbaikkan antaranya bercadang untuk meningkatkan kadar keluasan Rumawip kepada minimum 900 kaki persegi berbanding dengan hanya 700 hingga 900 kaki persegi seunit yang diluluskan kerajaan terdahulu,” katanya.
Sementara itu, Khalid berkata Residensi Rampai II yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 3.08 ekar (1.232 hektar) bakal menawarkan dua blok kediaman berketinggian 35 tingkat bagi unit harga bebas dan 31 tingkat untuk unit Rumawip.
“308 unit kediaman Rumawip tersebut akan didirikan dengan berkeluasan 800 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu parkir berbumbung pada harga RM299,900.
“308 unit lagi dibuka untuk jualan dengan harga sederhana. Kesemua unit dijangka siap dalam masa 36 bulan iaitu menjelang tahun 2021,” katanya.
Katanya selain usahasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pancaran Nilai (M) Sdn Bhd, CRSC Group turut memberi subsidi sebanyak RM20 juta harga rumah pangsapuri kos rendah dan RM5 juta untuk membina dewan dan pusat penjaja untuk kemudahan penghuni, sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. – BERNAMA

