KUALA LUMPUR – Pemuda MCA membidas cadangan kerajaan membina plaza tol baharu bagi menangani kesesakan trafik di Lebuhraya Persekutuan dengan menyifatkannya sebagai penyelesaian berpandangan singkat yang menambah beban rakyat.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan berkata, cadangan itu gagal menangani punca sebenar kesesakan, sebaliknya memindahkan kos kepada pengguna jalan raya melalui caj tol tambahan.
Katanya, bancian trafik pada 2025 berhampiran pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor mendapati Lebuhraya Persekutuan (FT2) mencatatkan Tahap Perkhidmatan (LOS) F, menunjukkan kesesakan trafik yang teruk.
“Pengguna jalan raya sudah kehilangan masa, bahan api dan wang akibat kesesakan setiap hari. Adakah rancangan kerajaan akan meringankan beban mereka atau sekadar menambah perbelanjaan?” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan membina lebuh raya bertol baharu bagi menangani kesesakan lalu lintas teruk di Lebuhraya Persekutuan.
Mike Chong berkata, penambahan kapasiti jalan tanpa penambahbaikan pengangkutan awam bukan penyelesaian jangka panjang, malah boleh menarik lebih banyak kenderaan dan mewujudkan kesesakan baharu.
Pemuda MCA menggesa kerajaan mengutamakan kebolehpercayaan, kekerapan, penyelenggaraan dan liputan perkhidmatan LRT serta MRT bagi menggalakkan orang ramai meninggalkan kenderaan persendirian.
Katanya, kerosakan, gangguan perkhidmatan dan kelewatan yang kerap menjejaskan keyakinan pengguna pengangkutan awam.
“Dahulu PH menentang tol lebuh raya, kini mempertimbangkan pembinaan lebih banyak tol. Adakah PH sudah melupakan janjinya kepada pengundi? Jika tidak mampu menghapuskan tol, janganlah menambah beban tol kepada rakyat,” katanya.
Tegasnya, rakyat memerlukan pengangkutan awam yang boleh dipercayai dan mampu milik, bukannya lebih banyak tol lebuh raya serta janji yang dimungkiri. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA


