PETALING JAYA – Seorang penganggur yang meragut beg seorang eksekutif wanita yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya sehingga mangsa diseret di atas jalan raya dengan motosikal yang ditunggang tertuduh, hari ini dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Afiq Othman, 30, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan menyamun beg sandang milik Zarina Omar, 46, sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian lutut, jari kiri, tangan dan siku kanan serta belakang badan wanita itu.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Intan 2/6, Taman Puchong Intan, Puchong, di sini, pada 10.15 malam, 15 Feb lalu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Izleen Ismail memohon hukuman pemenjaraan yang minimum atas alasan pengakuan salah anak guamnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Ini adalah kesalahan pertama tertuduh. Ketika kejadian tertuduh tidak bekerja kerana mengalami kemalangan sehingga terpaksa menjalani fisioterapi.
“Tertuduh juga telah menyesal dan insaf atas perbuatannya, oleh itu saya mohon satu hukuman yang ringan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim memohon hukuman berat mengambil kira mangsa mengalami kecederaan parah dan trauma sehingga tidak boleh lagi menunggang motosikal.
“Oleh itu, mohon satu hukuman yang dapat memberikan pengajaran dan keinsafan kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah menyamun beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bakul motosikal wanita itu, bagaimanapun mangsa berjaya menarik semula beg miliknya itu tetapi dia terjatuh setelah gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya.
Selepas itu berlaku pergelutan sehingga mangsa diseret di atas jalan raya dengan motosikal yang ditunggang tertuduh, namun tertuduh terjatuh dan berjaya diberkas oleh orang ramai. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..

