KUCHING – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berbeza daripada universiti awam lain di negara ini dari segi struktur tadbir urus, dan ia tidak terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata dengan itu, tidak boleh dikatakan bahawa pelantikannya sebagai Presiden UIAM adalah bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Ini adalah kerana perbezaan berkenaan dan lagipun tidak timbul konflik kepentingan dalam perkara ini, katanya,
“Ia akan hanya bercanggah dengan manifesto PH jika saya sendiri melantik diri saya untuk menjadi ketua – contohnya UM, UPM atau UUM dan lain-lain, kerana institusi berkenaan mempunyi struktur berbeza, dan ini (UIAM) betul-betul berbeza,” katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabat ketua menteri di bangunan baharu Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata UIAM mempunyai perlembagaan sendiri kerana semasa ia ditubuhkan, ia sepatutnya menjadi sebuah universiti antarabangsa dengan anggota lembaganya terdiri daripada duta atau wakil daripada negara lain, dan presidennya tidak diberikan kuasa penuh yang biasanya diberikan kepada seseorang yang mewakili kerajaan Malaysia.
“Sebab itu kenapa sejak UIAM mula ditubuhkan, anda lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah presidennya ketika itu, sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan menteri pendidikan ketika itu, Jadi tradisi ini bukan baharu – kerana struktur UIAM sendiri yang berbeza,” katanya.
Maszlee menegaskan apabila menteri pendidikan dilantik sebagai presiden, menteri itu akan bekerja secara percuma tanpa gaji tetap, elaun atau kemudahan tertentu manakala sekiranya individu lain dilantik ke jawatan itu ia akan melibatkan hampir setengah juta ringgit bagi gaji atau elaun.
“Apabila saya telah dilantik (presiden UIAM) oleh Sultan Pahang (selaku Ketua Perlembagaan UIAM), secara undang-undang saya sudah menjadi presiden. Jadi sekarang saya dalam dilema, kalau saya tidak terima… saya kena menghadap Sultan, beritahu baginda saya kena derhaka.
“Kedua-dua mereka (Sultan Pahang dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) kena lantik orang lain sebagai presiden, yang akan kena dibayar elaun dengan wang pembayar cukai, jadi adakah saya akan mengutamakan wang pembayar cukai… atau mengutamakan desakan, saya kira dalam kes ini saya utamakan rakyat.
“Saya perlu rundingi pihak atasan, seperti pihak yang melantik saya – Sultan Pahang, dan juga Perdana Menteri, kerana saya tiada kuasa untuk menentukan apa-apa, saya perlu dapatkan nasihat mereka,” katanya.
Sementara itu merujuk kepada perjumpaannya dengan Ketua Menteri, Maszlee berkata beliau telah menyatakan komitmen kerajaan untuk membantu pendidikan di Sarawak dalam dua aspek iaitu dari sudut prasarana, dan kualiti pendidikan.
Maszlee berkata peruntukan sebanyak RM2.7 bilion disediakan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang akan memberi tumpuan terhadap usaha membaiki sekolah-sekolah yang uzur di Sarawak, dan bagi tahun ini masih ada RM100 juta yang akan dibelanjakan bagi tujuan itu.
Katanya semalam beliau telah melawat empat sekolah di sekitar Simunjan serta Sadong Jaya yang daif dan beliau amat terharu dengan kesungguhan dan kegigihan tenaga kerja dan pelajar yang gigih dengan semangat berkobar-kobar untuk menimba ilmu walaupun dalam keadaan prasarana serba kekurangan.
Sehubungan itu, katanya beliau akan berbincang dengan universiti-universiti untuk membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran mereka, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Katanya Ketua Menteri Sarawak juga dilihat turut memberikan kerjasama baik dan komitmen untuk membantu kementerian dalam apa juga program yang sedang dirancang demi keperluan pendidikan anak negeri itu. – BERNAMA

