KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli merupakan gandingan tepat sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PKR.
Jelas calon Naib Presiden PKR itu lagi, Anwar dan Rafizi merupakan pemimpin yang menjiwai semangat reformasi sebenar selain Anwar yang telah terbukti pengorbanannya sebagai pencetus perubahan dan Rafizi yang memahami aspirasi akar umbi.
“Orang yang saya lihat betul-betul menjiwai reformasi dua orang. Pertama, Anwar yang faham kerana sudah keluar masuk penjara dan beliau memperjuangkan reformasi dan yang kedua ialah Rafizi.
“Rafizi bukan saja anak muda yang cerdik dan pintar, mempunyai pendidikan yang cukup untuk memimpin tetapi apa yang lebih penting, beliau memahami hasrat kehendak anggota di bawah,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight seperti yang disiarkan portal berita tersebut hari ini.
Anwar sebelum ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR sekali gus mengambil alih jawatan daripada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Rafizi pula bakal menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan penyandang bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Dalam pada itu, Johari berpandangan hanya Rafizi merupakan padanan mantap untuk Anwar.
“Saya adalah pengasas Parti Keadilan Nasional dahulu, jadi saya dapat melihat beliau ini adalah antara insan yang boleh membawa reformasi, apatah lagi beliau anak muda. Sebab itu saya rasa gandingan antara Anwar dan beliau (Rafizi) sempurna untuk agenda reformasi ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

