KUALA LUMPUR – Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin terlupa tentang penjelasannya mengenai pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan sebelum ini.
Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 12 Mei lalu menjelaskan kewujudan Majlis Penasihat Kerajaan hanya untuk tempoh 100 hari.
Perkara itu diingatkan oleh mantan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff dalam satu kenyataan di Facebook.
Kamarul memuat naik petikan kenyataan yang pernah dibuat oleh Mahathir mengenai Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin seperti berikut:
“Tempoh jangka masa kewujudan majlis ini adalah 100 hari sahaja,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hari ini. (TUN DR MAHATHIR: 12 MEI 2018)
Media bagaimanapun melaporkan Mahathir hari ini mempertahankan fungsi dan kewujudan Majlis Penasihat Kerajaan meskipun tempoh 100 hari telah berlalu.
“Saya tidak pernah kata Majlis Penasihat Kerajaan akan dibubarkan selepas tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Saya juga tidak membuat apa-apa keputusan.”
Mahathir dilaporkan berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian hospital pakar swasta Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) hari ini. – MYNEWSHUB.TV