KUALA LUMPUR – Seramai 17 pengawal keselamatan yang sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjumlah RM3.5 juta, dikesan sudah membelanjakan lebih RM2 juta wang diambil.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, jumlah yang dibelanjakan itu bagi membeli kereta, motosikal, barangan perhiasan diri, peralatan elektronik selain barangan kelengkapan rumah termasuk perabot.
Katanya, sehingga kini, SPRM hanya berjaya memperoleh semula RM1.47 juta daripada keseluruhan wang diambil pengawal keselamatan yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu.
“Berdasarkan siasatan terkini, kesemua pengawal keselamatan berkenaan sudah membelanjakan lebih RM2 juta daripada RM3.5 juta yang mereka ambil.
“Jumlah itu termasuklah digunakan bagi membeli kelengkapan rumah seperti perabot serta kenderaan yang turut dirampas SPRM sebelum ini,” katanya.
Pada 8 Ogos lalu, seramai 17 pengawal keselamatan di JPM direman lima hari mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU-14 berjumlah RM3.5 juta.
Difahamkan, mereka yang ditahan termasuk seorang pegawai keselamatan Gred KP52 berusia 51 tahun dan 16 pengawal keselamatan masing-masing Gred KP11 hingga 38 berusia antara 31 hingga 51 tahun yang bertugas di Kompleks B, JPM.
Malah, sehingga kini juga SPRM sudah merampas tujuh buah kereta, 12 motosikal, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 unit telefon bimbit serta perkakas elektrik.
Tujuh buah kereta itu adalah sebuah Volkswagen Golf GTI , tiga buah Honda, dan masing-masing sebuah Subaru Impreza, Toyota Vios dan Perodua Alza manakala 12 motosikal pula terdiri daripada lima buah berjenama Yahama dan selebihnya berjenama Honda.
Kesemua kenderaan dan barangan yang disita itu masih dalam proses penilaian harga manakala kesemua pengawal keselamatan sudah dibebaskan kelmarin dengan jaminan SPRM, masing-masing dengan seorang penjamin. – BH Online

