KUALA LUMPUR – Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa kesan konflik di Asia Barat kini mula dirasai di Malaysia, namun rakyat diminta agar tidak panik dan terus mengurus perbelanjaan dengan bijak.
Menurut beliau, perkembangan geopolitik melibatkan Iran dan Israel yang semakin memuncak sejak akhir Februari memberi kesan langsung kepada ekonomi global, khususnya kerana kawasan tersebut merupakan laluan penting bekalan tenaga dunia.
“Di rantau ini terletaknya Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus aliran minyak dan gas dunia setiap hari. Sebarang gangguan akan terus menjejaskan bekalan global dan menyebabkan harga minyak meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Jelas beliau, kenaikan harga minyak mencetuskan kesan berantai termasuk peningkatan kos pengangkutan dan pengeluaran, sekali gus menyebabkan harga barangan turut meningkat.
Tambahnya, kesan konflik itu bukan lagi sekadar jangkaan, malah sudah mula dirasai dalam beberapa sektor termasuk industri baja apabila pengeluar tempatan terpaksa menghentikan sementara tempahan baharu akibat lonjakan kos bahan mentah dan ketidaktentuan bekalan.
Dalam masa sama, kerajaan turut berdepan tekanan besar dari segi subsidi bahan api walaupun harga RON95 masih dikekalkan pada RM1.99, kos subsidi meningkat mendadak daripada sekitar RM700 juta kepada kira-kira RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu.
“Semua ini ditanggung kerajaan supaya rakyat tidak perlu membayar harga sebenar pasaran,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa buat masa ini bekalan tenaga global masih mencukupi untuk jangka pendek, namun memberi amaran tekanan lebih besar boleh berlaku sekiranya konflik berpanjangan.
Sehubungan itu, kerajaan melalui agensi seperti Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara Malaysia sedang memantau rapi perkembangan harga tenaga, bekalan serta pasaran kewangan setiap hari.
“Kerajaan tidak hanya menunggu dan melihat. Kita bertindak secara aktif dan tersusun termasuk menyelaras dengan pemain industri bagi memastikan bekalan domestik mencukupi serta melaksanakan langkah fiskal dan subsidi secara bersasar,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menasihatkan rakyat supaya kekal tenang dan tidak panik dalam menghadapi situasi semasa.
“Urus perbelanjaan dengan lebih berhati-hati. Beli ikut keperluan dan berpandukan maklumat yang sahih. Yang penting, kita kekal tenang tetapi peka dengan perkembangan semasa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa konflik di Asia Barat bukan isu yang jauh, sebaliknya memberi kesan langsung kepada harga minyak, kos sara hidup dan kestabilan ekonomi dunia.
“Jika konflik ini berpanjangan, cabarannya akan lebih besar. Namun dengan langkah yang betul dan pengurusan teliti, Malaysia mampu menghadapinya, Insya-Allah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Tengku Zafrul


