SANDAKAN – Pemilik bangunan dan rumah di daerah ini digalakkan untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis mereka sebagai tanda patriotik bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain berkata pada masa sekarang sambutan kalangan pemilik bangunan kedai, pejabat swasta dan rumah untuk mengibarkan Jalur Gemilang masih kurang
“Sebagai warganegara Malaysia maka sewajarnya kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan dengan penuh semangat dan kegembiraan.
“Kemerdekaan yang dikecapi selama ini harus kita hargai dengan menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara,” katanya ketika melancarkan Kempen Jalur Gemilang di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada wakil dari beberapa agensi kerajaan dan Dewan Perniagaan Tiong Hua Sandakan.
Ia disusuli konvoi kempen Jalur Gemilang membabitkan beberapa kenderaan agensi kerajaan di sekitar Bandar Sandakan.
Mohd Hamsan berkata masyarakat tidak perlu menunggu untuk mengibarkan Jalur Gemilang hanya selepas diberi percuma sebaliknya mereka perlu ada inisiatif untuk memperolehnya dengan membeli sendiri.
Pada masa sama, beliau meminta premis yang menjual Jalur Gemilang supaya memberikan potongan harga untuk sama-sama memainkan peranan menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang. – BERNAMA

