KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan insentif khas bagi menggalakkan pemilik premis perniagaan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61.
TNB dalam satu kenyataan media berkata, insentif khas itu telah diberikan sejak tahun 2000 kepada semua pengguna perdagangan di bawah tarif B, C1 dan C2 yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun, untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2018.
“Ia melibatkan bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel serta stesen minyak.
“Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2018,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut TNB, mereka yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di semua Kedai Tenaga yang berhampiran atau melalui myTNB Self Service Portal, www.mytnb.com.my. dan tarikh tutup permohonan pada 15 September 2018. – MYNEWSHUB.TV

