KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan adakah syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikenakan cukai tambahan RM10.6 bilion oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2025.
Menurut beliau, penyata kewangan TNB tahun 2025 yang lepas menunjukkan pelarasan sekitar RM10.6 bilion berkaitan tuntutan cukai tambahan.
“Kerajaan Persetujuan mesti menjawab satu lagi isu besar. Saya minta Kerajaan Persekutuan berterus-terang. Saya dah pernah bangkit dalam Parlimen sebelum ini.
“Adakah benar TNB dikenakan tuntutan cukai tambahan RM10.6 bilion pada tahun 2025 lepas? Kalau benar, mengapa jumlah sebesar ini dikenakan kepada syarikat utiliti utama negara?,” katanya menerusi satu rakaman video di media sosial.
Ka Siong berkata, persoalan lebih penting adakah tuntutan RM10.6 bilion itu menjadi salah satu sebab mengapa bil elektrik rakyat dan perniagaan semakin mahal.
“Jangan diam-diam kutip cukai daripada TNB. Kemudian rakyat pula terpaksa menanggung melalui bil elektrik yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan, TNB bukan syarikat biasa sebaliknya turut dimiliki oleh institusi rakyat seperti KWSP, PNB, Tabung Haji dan KWAP.
Kata beliau, kalau TNB ditekan, akhirnya rakyat juga yang terkesan sebab sebagai pengguna elektrik dan juga sebagai pencarum.
Beliau turut mengaitkan situasi tersebut dengan Johor yang sedang berkembang pesat termasuk dalam aspek pelaburan, kilang bertambah dan peluang kerja bertambah.
“Kalau kos elektrik terus naik, rakyat susah, perniagaan susah, industri susah dan daya saing Johor juga akan terjejas.
“Sebab itu tuntutan kita jelas. Turunkan semula kadar elektrik, gantung atau mansuhkan SST 8% ke atas bil elektrik.
“Jelaskan isu tuntutan cukai tambahan RM10.6 bilion terhadap TNB dan jangan jadikan rakyat serta perniagaan sebagai mangsa kepada dasar cukai yang mendadak,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, PRN Johor merupakan peluang untuk rakyat Johor menghantar mesej jelas kepada Kerajaan Persekutuan melalui undi mereka.
“Kita tidak boleh lagi menerima bil elektrik yang terus naik bulan demi bulan. Hantar mesej kepada Putrajaya melalui peti undi, cukup-cukuplah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wee Ka Siong


