KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang menggunakan kemudahan Touch ‘n Go dan SmartTAG akan menikmati 10 peratus diskaun tol bersempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
Syarikat konsesi LPT, ANIH Berhad dalam satu kenyataan media memberitahu, pemberian diskaun tol itu adalah untuk semua jenis kenderaan yang menggunakan lebuhraya berkenaan.
“Langkah ini juga sejajar dengan seruan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan bayaran tol secara elektronik dan melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.
“ANIH Berhad menganggarkan kira-kira 60 peratus pengguna LPT akan menikmati diskaun pembayaran elektronik di sepanjang lebuh raya ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, diskaun tol 10 peratus itu diberi kepada pengguna LPT terbabit bermula pada 19 Februari ini dari pukul awal pagi hingga 11:59 malam.
“LPT bermula dari Gombak di Lembah Klang dan berakhir di Jabor, Terengganu. Pengguna jalan raya boleh mengikuti laporan terkini LPT di akaun Twitter @LPTTrafik atau lawati www.anihberhad.com,” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc

