SHAH ALAM – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan tuduhan bahawa beliau dan isteri memiliki ratusan juta ringgit dalam beberapa akaun bank di luar negara, jelas berniat jahat bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.
Beliau berkata individu atau pihak terbabit sepatutnya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai bukti dan bukannya membuat tuduhan tidak berasas.
“Jika mana-mana individu atau pihak yang yakin mempunyai bukti kukuh tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dilakukan.
“Ini satu perkara yang tidak harus berlaku dalam suasana hari ini, ia merupakan satu fitnah untuk mencemarkan reputasi saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan dibuat oleh seorang penulis blog “Toyol of Selangor,” yang mendakwa bekerja dengan bekas menteri besar Selangor itu.
Dalam penulisan bertarikh 18 Jun lepas, penulis blog terbabit antara lain mendakwa Mohamed Azmin dan isterinya Datin Seri Shamsidar Taharin memiliki ratusan juta ringgit dalam banyak akaun bank di luar negara.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk disiasat, Mohamed Azmin menjawab: “Oh, saya (bersedia) dari dulu (lagi)… tuduhan ini bukan baharu.”
Kepada soalan sama ada beliau bersedia mengisytiharkan asetnya bagi menyangkal dakwaan itu, Mohamed Azmin berkata perkara tersebut telah diamalkan oleh pentadbiran kerajaan negeri Selangor sejak 2008 termasuk ketika beliau menjadi menteri besar.
“Dasar kita ialah semua pihak eksekutif melaporkan aset supaya ketelusan dan kebertanggungjawaban ini menjadi prinsip dalam pentadbiran,” katanya. – BERNAMA

