TAWAU – Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah menyambut positif cadangan berhubung penggunaan teknologi pembinaan jalan raya berasaskan getah di negeri ini.
Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkan perkara itu sekiranya kaedah itu memberi faedah kepada kerajaan.
“Ini suatu perkara baharu dalam kementerian kita dan tidak pernah lagi dilaksanakan (jalan raya getah) di Sabah, tetapi kalu itu (cadangan) mendatangkan hasil, memudahkan serta membantu kerajaan untuk menjimatkan kos itu adalah satu cadangan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak empangan dan loji air Cinta Mata dekat sini, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick bercadang memperkenalkan teknologi pembinaan jalan raya berasaskan getah di Sabah khususnya di luar bandar.
Peter berkata sebarang pengenalan kaedah baharu berkaitan pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya menggunakan teknologi getah itu, perlu bersesuaian dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) kementerian.
“Kaedah ini ada dilaksanakan di Kuala Lumpur sebagai projek rintis dan masih dalam pemerhatian,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut memuji cadangan itu dan berkata secara langsung kaedah itu membantu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah untuk memikir cara membantu meningkatkan harga getah sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha getah di negeri ini. – BERNAMA