KUALA LUMPUR – Pemimpin Melayu DAP, Zairil Khir Johari mencabar Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyaman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, walaupun Mustafa tidak bersetuju dengan Guan Eng dalam isu itu, pemimpin PAS itu sepatutnya menyelesaikan perselisihan faham berkenaan secara tertutup, bukan secara terbuka.
“Jika Mustafa benar-benar merasai bahawa Setiausaha Agung DAP tidak berlaku jujur mengenai perkara ini, maka beliau hanya perlu mengambil tindakan menyaman Guan Eng.
“Biarpun apa tindakan PAS dan Mustafa, biarlah isu ini diselesaikan secara dalaman atau dalam mahkamah daripada terus tuduh menuduh dan cabar mencabar secara terbuka,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zairil dalam pada itu mengakui hubungan DAP dengan PAS semakin renggang berikutan tindakan Mustafa mencabar Setiausaha Agung DAP untuk bersemuka berhubung isu pilihan raya PBT.
Justeru, beliau mengkritik Mustafa kerana `menepuk dada’ menyelar Guan Eng sebagai “celupar†sambil menafikan pimpinan tertinggi PAS pernah mempersetujui dasar kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan pada tahun 2012.
“Setiausaha Agung DAP pernah menghubungi Mustafa serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri melalui telefon untuk membincangkan isu itu.
“Mustafa dan Abdul Hadi tidak pun membantah, malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Pulau Pinang juga tidak membantah atau membangkang apabila rang undang-undang enakmen tersebut diluluskan DUN,” dakwanya.
Malangnya, dakwa beliau, Mustafa berkeras bahawa tiada persetujuan yang dicapai antara DAP dan PAS mengenai isu itu sebelum ini. – mynewshub.cc

