BAGAN DATUK – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memang gemarkan aiskrim dan dalam kalangan penduduk di sini, beliau memang terkenal suka belanja penduduk sekitar dengan aiskrim.
Timbalan perdana menteri diceritakan pernah membantu keluarga angkat Cinanya menjual aiskrim selepas sekolah.
Hari ini, semasa beramah mesra dengan penduduk Kampung Masjid Sg Lancang di sini sambil menikmati jamuan petang, beliau memberitahu penduduk kampung bahawa beliau mahu belanja aiskrim apabila melihat seorang penjual aiskrim berhenti di tepi jalan.
Lantas beliau menuju ke arah motosikal yang dinaiki penjual aiskrim itu dan membayar sambil menghulurkan aiskrim kepada semua penduduk kampung yang berada di situ.
Penduduk kampung kelihatan teruja apabila melihat kemesraan timbalan perdana menteriu yang tiada protokol menghulurkan aiskrim setiap satu kepada mereka yang berada di situ selepas Ahmad Zahid selesai melawat Bilik Gerakan Pilihan Raya UMNO Cawangan Kampung Masjid Sungai Lancang di sini.
Beliau turut beramah mesra dan bergurau senda dengan penduduk kampung dan penjual aiskrim itu sebelum beredar ke Pusat Daerah Mengundi Sungai Tiang di Kampung Sungai Tiang Baroh di sini.
Menurut seorang rakan sekolahnya, Abdul Ghani Baki, 63, yang juga berada di situ, Ahmad Zahid memang seorang yang peramah dan mesra rakyat.
“Setiap kali, kalau jumpa penjual aiskrim, beliau akan bayar dan belanja semua yang hadir,” katanya di sini.
Kenal sejak bangku sekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Balai, Rungkup, Abdul Ghani dan Ahmad Zahid memang terkenal sebagai seorang peramah dan beliau akan menghadiri kenduri, majlis kematian dan juga ketika sambutan Hari Raya dan bersalaman dengan semua hadirin.
“Beliau (Ahmad Zahid) akan terus ke dapur untuk bersalam dengan semua yang hadir. Tidak segan silu. Tidak kekok. Ketika menjadi menteri penuh pun tiada protokol dengan penduduk kampung dan juga rakan-rakan,” katanya. – BERNAMA

