SEREMBAN – Jumlah pembayaran zakat Tabung Haji (TH) bagi Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan 14.34 peratus, berbanding RM2 juta pada 2016.
Pengurus Besar Kanannya Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata manakala jumlah keseluruhan bayaran zakat TH pada 2017 turut mencatatkan peningkatan iaitu 12.14 peratus (RM67.6 juta), berbanding tahun sebelumnya RM60.3 juta (2016).
Beliau berkata TH sentiasa melaksanakan bayaran zakat pada permulaan tahun agar wang tersebut dapat dimanfaatkan ke arah kemampanan program zakat yang dirangka dan disasarkan kepada golongan asnaf yang layak.
“TH amat mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan dengan bayaran zakat ini dapat membantu meningkatkan lagi kegiatan ekonomi golongan asnaf,” katanya majlis ringkas penyerahan zakat di di Istana Hinggap di sini
Majlis disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang berkenan menerima zakat perniagaan Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak RM2.33 juta yang dibayar kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS).
Turut hadir Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Datuk Selamat Paigo, Pengarah PZNS Nor Azmi Musa dan Setiausaha MAINS Datuk Kamal Amran Kamarudin.
Syed Saleh berkata dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui program tanggungjawab sosial korporatnya.
Nor Azmi pula berkata PZNS telah mengutip zakat harta berjumlah RM37.72 juta bagi tempoh Januari hingga April 2018, berbanding RM36.96 juta pada 2017 dalam tempoh sama iaitu meningkat sebanyak RM816,623 atau 2.21 peratus. – BERNAMA

