KULIM – Kedah kini berada pada kedudukan keempat jumlah penyiapan Rumah Rakyat 1Malaysia (RMR1M) tertinggi di seluruh negara selepas Kelantan, Terengganu dan Johor.
Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata mengikut statistik hingga 31 Mac lepas, jumlah keseluruhan unit RMR1M yang berjaya disiapkan di seluruh negara adalah 42,471 unit.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 5,102 unit RMR1M berjaya disiapkan di negeri ini dengan 320 unit dalam pembinaan dan 5,528 unit telah diluluskan.
“Bagi Padang Serai sendiri, sebanyak 105 unit berjaya disiapkan manakala 35 unit dalam proses pembinaan dan 58 lagi masih dalam peringkat dokumen perjanjian,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra Penerima RMR1M Parlimen Padang Serai di Kampung Baru Tambahan Sungai Kob, Karangan di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Padang Serai yang juga anggota lembaga pengarah SPNB Datuk Asmadi Abu Talib.
Pada majlis tersebut, lima pemilik RMR1M menerima kunci rumah mereka manakala 17 pemohon menerima Sijil Kelayakan Subsidi RMR1M dan enam kontraktor menerima Inden Kerja bagi pembinaan 17 unit RMR1M di sekitar Padang Serai.
Dalam pada itu, Asmadi mengharapkan proses pembinaan rumah SPNB di Padang Serai ini akan berterusan bagi manfaat penduduk setempat.
“Walaupun di kawasan Padang Serai ini bukan diwakili BN, kerajaan tetap memberikan kelulusan yang bukan sedikit untuk pembinaan rumah kerana ia tetap menjadi tanggungjawab kami untuk mengatasi masalah rumah penduduk di sini,” katanya. – BERNAMA