PASIR PUTEH – Seramai 7,155 pemilik Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di negeri ini menikmati subsidi kerajaan persekutuan berjumlah RM141.9 juta sejak skim perumahan itu diperkenalkan pada 2002 hingga Februari lepas.
Pengerusi Syarikat Perumahan Negera Berhad (SPNB) Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata kos keseluruhan pembinaan rumah itu berjumlah RM449.2 juta dengan setiap unit menelan belanja kira-kira RM62,000.
Bagaimanapun, katanya pemohon hanya membayar kira-kira RM40,000 iaitu kira-kira RM270 sebulan dan bakinya ditanggung kerajaan menerusi subsidi yang diberikan itu.
“Kelantan merupakan negeri terbesar mendapat peruntukan bagi membina RMR1M berbanding 49,565 rumah yang diluluskan di seluruh negara,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Penerima RMR1M dan Penyerahan Sijil Kelayakan Subsidi dan Inden Kerja RMR1M Parlimen Pasir Puteh di di sini, hari ini.
Penyerahan itu dilakukan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Turut hadir Ketua UMNO Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.
Sementara itu, Asyraf Wajdi yang merupakan Bapa Angkat UMNO Bahagian Pasir Puteh, berkata kerajaan akan membina lebih banyak RMR1M jika Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Ketika ini pun, kerajaan dah hampir penuhi permintaan UMNO Bahagian Pasir Puteh untuk bina lebih 1,000 RMR1M di kawasan Parlimen ini,” katanya.
Seorang penerima Aik Yang a/l Kelek, 48, dari Kampung Ketik Nangka, Semerak, di sini berterima kasih kepada kerajaan kerana permohonannya untuk memiliki RMR1M diluluskan.
“Sebelum ini saya, isteri dan tiga orang anak masing-masing berumur 12, 18, dan 21 tahun terpaksa tinggal di rumah sewa di Kota Bharu kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana hanya bekerja sebagai mekanik kereta,” katanya. – BERNAMA