PETALING JAYA – Seorang pemandu pelancong dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri beberapa barangan keperluan milik sebuah pasar raya, dua bulan lalu.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas A. Nakaviran, 31, mengaku bersalah mencuri beberapa barangan antaranya klip baju, tuala dapur dan pencuci lantai milik pasaraya Aeon Taman Equine berjumlah RM841.50.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Bapa dua anak itu melakukan kesalahan tersebut di Aeon Taman Equine, Seri Kembangan, di sini pada 4.05 petang, 7 Jan lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf dan perlu menanggung keluarga termasuk ibu bapanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang kelihatan mencurigakan telah ditahan oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas selepas melihat lelaki itu tidak membuat pembayaran terhadap barangan yang diambil lalu keluar dari pasar raya itu. – BERNAMA

