“SEMAKIN kuat saya lawan, semakin banyak didatangi ujian kerana setahun selepas jalani CAPD, saya perlu melakukan rawatan dialisis darah,” kata Khairul Syazwan yang sakit buah pinggang.
Dengan keadaan ginjalnya hanya berfungsi pada tahap sembilan peratus, beliau dan perlu menjalani rawatan dialisis Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) empat kali sehari dan Hemodialisis (HD).
Lapor Berita Harian, Khairul, 32, dahulunya aktif sebagai pemain ragbi ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) malahan pernah mewakili Negeri Sembilan dan Selangor.
Namun, penderitaan sakit buah pinggang yang dihadapinya itu telah mengekang beliau untuk meneruskan sukan yang diminatinya tersebut sejak kecil lagi.

Khairul mengakui pernah berasa kecewa apabila putaran hidup membuatnya seakan-akan tidak bermaya kerana beliau seorang yang aktif, menjaga pemakanan dan kesihatan.
“Memang sukar dan perit pada mulanya, malah pernah terbit rasa marah serta putus asa kerana kudrat bagaikan terbatas.”
Bagaimanapun, Khairul tetap mengambil masa untuk bersukan dengan kerap menyertai acara larian jarak sederhana.
Anak sulungnya, Hawra Naaila, empat tahun, selama ini menjadi tunjang kekuatannya untuk beliau terus berjuang melawan sakit yang dihadapinya.
Puteri kesayangannya itu kerap menyebut ingin bercita-cita menjadi doktor dengan hasrat mahu menyembuhkan bapanya.

Juliwar Idrus, 32, sentiasa setia dan tidak putus memberi sokongan kepada suaminya terutamanya apabila Khairul berasa mahu menyerah kalah dan berputus asa.
“Sampai satu ketika, saya berasa penat untuk berjuang, namun isteri menaikkan semangat saya dan menganggap saya insan terpilih kerana dipilih Allah untuk menempuh segala ujian ini.”
“Isteri kerap menyebut saya perlu menjadi wira untuk anak dan itulah kekuatan saya untuk bangkit melawan.”
“Perlahan-lahan saya mulai sedar sepanjang hidup saya tidak pernah mengalah, maka saya jadikan dorongan keluarga dan teman sebagai kekuatan menjalani rawatan,” tambahnya lagi.![]()

Bersemangat menjadi contoh penghidap sakit ginjal dan penyakit kronik lain, beliau kerap berkongsi perkembangan rawatan menerusi akaun media sosial dengan memuat naik pelbagai mesej positif.
Ujarnya, usaha itu membawa ramai kenalan termasuk dari luar negara yang meminta tips dan pandangannya.
“Mungkin tidak ramai yang menjalani dua jenis dialisis iaitu CAPD dan HD, maka saya jadikan pengalaman sendiri sebagai panduan memilih rawatan sesuai.
“Secara positifnya, saya yakinkan diri bahawa saya insan terpilih yang diberi ujian oleh Allah supaya di penghujungnya mampu menjadi inspirasi buat semua,” katanya.
Sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia hari ini, Khairul menyatakan kesediaan tampil membantu pesakit buah pinggang atau ahli keluarga mempersiapkan diri dari segi mental dan emosi. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

