Dalam isu nama untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar (MB) Selangor, Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih degil dan enggan menghantar lebih dari dua nama kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Semalam, beberapa agensi media melaporkan parti itu dikatakan akan menghantar lebih dua nama untuk dipertimbangkan pihak Istana Selangor.
Hari ini, Naib Pesiden PKR Rafizi Ramli meminta semua penyokong parti itu supaya tidak mempercayai laporan berita berkenaan.
Menurut beliau, laporan itu tidak boleh dipercayai kerana ia tidak datang dari lidah rasmi parti itu sendiri, katanya menafikan laporan itu hanya melalui Twitter.
“Laporan bahawa PKR mahu calonkan nama kedua untuk MB tidak benar. Jangan percaya berita ‘sumber dalaman’, katanya dalam Tweet itu.
Daripada kenyataan Rafizi itu, PKR akan tetap dengan hanya satu nama iaitu nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Laporan bhw PKR mahu calonkan nama kedua utk MB tidak benar. Jgn percaya berita yg “sumber dalaman” & dtg dari NST The Star dll
 Rafizi Ramli (@rafiziramli) September 11, 2014
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin telah bertitah bahawa baginda murka kepada PKR dan DAP kerana bertindak hanya menghantar satu nama sahaja sebagai calon MB iaitu Dr Wan Azizah yang juga isteri Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengulas itu itu berkata PKR gagal memahami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor apabila mempertikai kuasa Sultan Selangor dalam soal pelantikan MB.
Jelas Najib, parti itu juga sanggup bersekongkol dengan DAP semata-mata untuk memastikan cita-cita untuk melantik Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor tercapai. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K

