KUALA LUMPUR – Permohonan Perikatan Nasional (PN) bagi mengenepikan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggantung semua kegiatan gabungan politik itu akan didengari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.
Prosiding permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu dijadual berlangsung pada sebelah 9 pagi di Mahkamah Tinggi Bidang Kuasa Khas 2, Tingkat 3, Sayap Kanan, Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, permohonan berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Datuk Azizan Md Arshad, manakala kesemua presiden parti komponen PN dijangka hadir.
Prosiding itu dijangka menjadi tumpuan susulan tindakan RoS yang mengeluarkan notis cadangan pembatalan pendaftaran PN pada 22 September lalu, diikuti perintah penggantungan semua kegiatan gabungan berkenaan berkuat kuasa 23 September.
RoS sebelum ini menjelaskan bahawa penggantungan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 bukan bermaksud pendaftaran PN telah dibatalkan, sebaliknya bertujuan memberi ruang kepada gabungan itu menjawab aduan yang diterima.
Tindakan tersebut menyusul aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung dakwaan parti berkenaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, selain persoalan mengenai status keanggotaannya dalam gabungan itu.
Bagaimanapun, PN tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan dan pada 5 Oktober lalu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar notis serta perintah penggantungan tersebut. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Che GuBard


