ALOR SETAR – Skuad China berada di kelas tersendiri apabila mudah menewaskan Singapura, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, hari ini.
Dalam kategori lelaki, China yang diundi dalam Kumpulan A, tidak menghadapi masalah mencatat kemenangan 5-0 ke atas Singapura. Shi Yuqi menyumbangkan mata pertama buat pasukan gergasi dunia itu apabila menumpaskan Ryan Ng Zin Rei 21-16, 21-13.
Pasangan beregu He Jiting-Tan Qiang terus cemerlang setelah menewaskan Danny Bawa Chrisnanta- Terry Hee Yong Kai 21-16, 21-17.
Singapura berusaha mencuri satu mata menerusi Muhamad Elaf Wei iTan, namun beliau gagal apabila tumpas kepada Qia Bin 10-21, 6-21.
Gandingan Han Chengkai-Zhou Haodong memastikan mata keempat China apabila mengalahkan Jian Liang Lee- Jason Wong Guang Liang 21-12, 21-12, sebelum Lu Guangzu melengkapkan kemenangan bergaya pasukan pilihan itu apabila mengetepikan cabaran Joel Koh Jia Wei 21-19, 21-13.
Bagi kategori wanita, China meneruskan penguasaan apabila mengatasi lawan sama 5-0 dalam Kumpulan Z. Chen Yufei meraih mata pertama China setelah menewaskan Grace Chua Hui Zhen 21-12, 21-8, dan aksi cemerlang itu diteruskan Du Yue-Li Yinhui mengalahkan Ong Ren-Crystal Wong Jia Ying 21-14, 21-18.
He Bingjiao menyumbangkan mata ketiga China dengan menumpaskan Jia Rong Sito 21-12, 21-10, malah gandingan Singapura Ker’Sara Koh-Bernice Lim Zhi Rui juga gagal menyekat kemaraan pasangan China Dong Wenjing-Feng Xueying selepas kalah 10-21, 12-12.
Gao Fangjie memastikan kemenangan bersih China apabila mudah menewaskan Nur Insyirah Khan 21-6, 21-12.
Dalam satu lagi kategori wanita , Jepun membelasah Hong Kong 5-0 dalam Kumpulan Group W, dengan Nozomi Okuhara menyumbangkan mata sulung selepas mengalahkan Cheung Ngan Yi 21-14, 21-19, manakala Misaki Matsumoto-Ayaka Takahashi menang mudah ke atas Ng Wing Yung- Yeung Nga Ting 21-8, 21-9.
Sayaka Sato terus menceriakan skuad Jepun apabila meraih mata ketiga menewaskan Cheung Ying Mei 21-8, 21-11, manakala gandingan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota mengalahkan Ng Tsz Yau-Wu Yi Ting 21-15, 21-7.
Jepun menamatkan cabaran tersebut dengan bertenaga menerusi Aya Ohori yang menumpaskan Yeung Sum Yee 21-10, 21-18.
Dalam aksi Kumpulan X kategori wanita, Korea Selatan membenam Maldives 5-0. Jang Mi Lee bermula baik setelah mengatasi Fathimah Nabaaha Abdul Razzaq 21-3, 21-4, dan mata kedua Korea Selatan diraih menerusi Chang Ye Na-Hye Rin Kim menumpaskan Nafha Nasrullah-Moosa Aminath Shahurunaz 21-3, 21-2.
Joo I Jeon pula mudah memberi mata ketiga buat Korea Selatan setelah membenam Aminath Nabeeha Abdul Razzaq 21-3, 21-2.
Pasangan beregu Ha Na Baek-Yu Rim Lee menyumbangkan mata keempat Korea Selatan selepas menewaskan gandingan adik-beradik, Aminath Nabeeha-Fathimath Nabaaha Abdul Razzaq 21-1, 21-1, sebelum Se Young An memastikan penguasaan pasukan itu dengan kemenangan 21-2, 21-4 ke atas Nafha Nasrulla. – BERNAMA

