JELEBU – Lembaga Adat Luak Jelebu mempertikaikan kesahihan proses pemilihan, pelantikan dan istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti pada 14 Oktober 2026.
Menerusi kenyataan media bertarikh 14 Oktober, pihaknya mendakwa proses berkenaan tidak sah dan tidak diiktiraf berdasarkan lunas serta aturan adat purba Luak Jelebu.
Menurut kenyataan itu, pendirian berkenaan bersandarkan tiga perkara utama membabitkan proses pemilihan, aturan warisan dan pertikaian keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU)
Pertama, Lembaga Adat mendakwa pemilihan dan pelantikan dibuat tanpa penglibatan, rujukan atau persetujuan mutlak daripada majoriti penyandang gelaran Dato’ Lembaga Adat Luak Jelebu yang sah mengikut nasab dan tertib adat purba.
Kedua, pihaknya mendakwa istiadat penzahiran tersebut membelakangkan institusi adat di peringkat luak, khususnya telapak waris, serta tidak mematuhi susur galur ketetapan Adat Perpatih dan Garis Panduan Pertabalan Undang Luak Jelebu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Jelebu telah membuat laporan polis pada 12 Oktober lalu bagi membantah penganjuran istiadat berkenaan.
Ketiga, Lembaga Adat mengekalkan pendirian bahawa sebarang keputusan atau ketetapan awal yang mengetepikan institusi Undang Luak Jelebu sedia ada dibuat secara sepihak serta masih tertakluk kepada pertikaian undang-undang dan adat yang belum diselesaikan sepenuhnya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru seluruh anak buah luak dan masyarakat supaya tidak terkeliru dengan penzahiran tersebut.
Lembaga Adat turut menegaskan akan terus mempertahankan kedaulatan aturan adat demi memelihara maruah, keutuhan dan keharmonian institusi beraja serta institusi luak daripada sebarang cubaan campur tangan yang melanggar tradisi turun-temurun. – MYNEWSHUB



