KUALA LUMPUR – Kerajaan Jepun menawarkan bantuan kecemasan tambahan bernilai RM300,000 untuk meringankan kesulitan penduduk yang terjejas banjir.
Kedutaan Jepun di Malaysia, dalam satu kenyataan malam tadi, berkata Tokyo menawarkan barangan termasuk khemah, selimut dan bantuan kemanusiaan yang lain bagi memenuhi permintaan daripada kerajaan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pada 1 Januari lepas, kerajaan Jepun menyediakan bantuan kecemasan bernilai lebih RM500,000 dalam bentuk barangan seperti penjana, penapis air dan bantuan kemanusiaan lain kepada mangsa banjir.
“Kerajaan Jepun sentiasa bersedia untuk membantu Malaysia dalam apa-apa keadaan tragedi dan berharap bahawa kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus menghadapi kesulitan dengan tabah, dan memulihkan kehidupan yang stabil kepada penduduk di kawasan-kawasan terjejas dengan secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Lapan negeri dilanda banjir besar secara berperingkat mulai pertengahan bulan lepas dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang antara negeri paling teruk terjejas dan lebih 200,000 orang dipindahkan semasa kemuncak bencana. – BERNAMA

