BAGAN DATUK – Kari kambing, roti sardin dan teh ‘kaw’ antara hidangan istimewa yang dinikmati Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika bersarapan bersama penduduk setempat di Restoran Berkat Sentiasa di Jalan Feri, Hutan Melintang dekat sini.
Biarpun mempunyai jadual yang amat padat hari ini, Ahmad Zahid tidak melepaskan peluang meninjau kawasan diwakilinya itu selain ‘mencuri masa’ bersarapan di kedai milik Husin Abdullah, 66 tersebut.
Anggota Parlimen Bagan Datuk itu tiba kira-kira 9.40 pagi dan meluangkan masa masa kira-kira 30 minit untuk menikmati juadah sarapan sambil beramah mesra dengan penduduk setempat.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Selesai bersarapan, Ahmad Zahid berkunjung ke gerai berhampiran serta beramah mesra dengan pemiliknya.
Sementara itu, Husin berkata beliau diberitahu oleh pejabat UMNO Bagan Datuk minggu lepas bahawa timbalan perdana menteri mahu bersarapan di kedainya.
Kata Husin, timbalan perdana menteri memintanya menyediakan menu istimewa seperti nasi lemak, kari ayam dan daging, roti sardin serta teh ‘kaw’.
“Saya terharu dan gembira kerana ini pertama kali Datuk Seri Zahid datang dan makan di kedai saya. Saya siapkan semua hidangan bermula 4 pagi tadi,” katanya.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata beliau mengenali Ahmad Zahid sejak 30 tahun lalu dan kerap bertemu pemimpin negara berkenaan ketika menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Aula, Simpang Empat di sini.
Ahmad Zahid kemudiannya beredar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang untuk menghadiri majlis perasmian Fiesta Ponggal. – BERNAMA

