SANDAKAN – Seramai 2,000 orang daripada golongan tidak berkemampuan dan pelajar di Bahagian Libaran mendapat bantuan menerusi pelaksanaan Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO pusat di sini, hari ini.
Bahagian Libaran menjadi lokasi pertama pelaksanaan program itu dengan 1,000 orang masing-masing menerima hamper barang keperluan rumah bernilai RM100.
Untuk penerima 1,000 pelajar pula, setiap seorang dibuka akaun berjumlah RM100 di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-I) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran Tan Sri Musa Aman melancarkan program itu yang turut dhadiri Pengerusi Biro Kebajikan UMNO pusat Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Berucap pada majlis itu, Shamsul Anuar berkata untuk siri kedua pelaksanaan program itu selepas Bahagian Libaran akan diteruskan ke Batu Sapi, Semporna, Tenom, Beaufort dan terakhir di Kota Belud pada Jumaat ini.
Katanya pada siri pertama program itu tahun lepas, ia dilaksanakan di 13 kawasan Parlimen di negeri ini.
Menurutnya pelaksanaan program ini merupakan cetusan idea Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memangku tugas Timbalan Presiden parti bagi membantu rakyat sejajar dengan perjuangan UMNO dan kerajaan.
Shamsul Anuar yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata ini merupakan kesinambungan program UMNO membantu rakyat yang memerlukan bantuan melalui pelbagai pendekatan.
“Pelaksanaan program UMNO bantu rakyat adalah bukan retorik tetapi ia dilaksanakan secara ikhlas. Bagi UMNO membantu rakyat memang sudah sebati dengan jiwa pemimpin kerana asasnya penubuhan UMNO adalah bagi membela dan membantu rakyat.
“Menerusi program ini, penerima bantuan diberikan kepada yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik membuktikan kita adil dengan memberikan bantuan kepada semua rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi program itu di Bahagian Libaran, sebanyak 10 rumah menerima pembaikan penyambungan pendawaian elektrik dengan kos RM3,000 setiap rumah dan penukaran minyak enjin membabitkan 200 motosikal. – BERNAMA

