KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat membina aplikasi di telefon pintar pembelajaran bahasa Arab bagi menarik minat generasi muda bertutur dalam bahasa itu.
Pengarah ISESCO Malaysia Dr Abdul Razif Zaini berkata beberapa aplikasi yang melibatkan kemahiran bertutur Bahasa Arab dan kosa kata akan dibangunkan pada tahun ini.
“Memang tak dinafikan penggunaan aplikasi di telefon bimbit sangat meluas pada zaman ini… dalam kalangan masyarakat khususnya para pelajar dan guru.
“Oleh itu, kita di pihak ISESCO sendiri sudah ada perancangan bersama KPM untuk membangunkan aplikasi ini supaya bahasa Arab dapat dipelajari dalam bentuk baharu.
“Secara tidak langsung, ia dapat menarik minat generasi muda untuk memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran Bahasa Arab,” kata Dr Abdul Razif dalam satu temuramah dengan Bernama selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan video pendek bahasa Arab peringkat antarabangsa 2017 di Bangi, dekat sini baru-baru ini.
Dr Abdul Razif bagaimanapun tidak dapat memberitahu bila aplikasi berkenaan dapat digunakan oleh para pelajar kerana pembangunannya masih di peringkat awal perancangan.
Sementara itu, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa KUIS Prof Datuk Dr Abdul Halim Tamuri berkata kaedah pengajaran yang interaktif mampu memupuk minat dalam kalangan pelajar disamping kaedah pengajaran yang berkesan.
“Jika guru mengajar dengan baik, maka dia akan timbulkan minat di kalangan pelajar, namun jika guru tidak mampu menggunakan method (kaedah) yang sesuai, ia akan menyebabkan pelajar itu merasa mudah bosan,” beliau berkata.
Abdul Halim berpendapat guru seharusnya dilengkapi kemahiran pedagogi sebenar iaitu kaedah dan prinsip pengajaran yang sesuai dengan pelajar dan keperluan semasa. – BERNAMA

