KENINGAU – Situasi banjir kilat yang melanda daerah pedalaman Keningau semalam kian pulih dan sehingga 10 pagi ini paras air Sungai Pampang dan Sungai Pegalan kembali ke paras normal.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Keningau, Bakri Isnin berkata mangsa banjir kilat semalam kini sibuk membersihkan kawasan rumah masing-masing.
Semalam, 12 rumah yang dibina di pesisir Sungai Pampang dihanyutkan banjir apabila tebing sungai itu runtuh dirempuh aliran air deras sementara berpuluh-puluh kediaman lagi dinaiki air.
Antara kawasan terjejas banjir ialah Kampung Contoh, Pampang dan Limbawan namun tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Liawan Datuk Sairin Karno yang meninjau kawasan terlibat malam tadi menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa berwaspada dan segera berpindah bila diarahkan pihak berkuasa. – BERNAMA

