KUALA LUMPUR – Seorang peniaga barang lusuh yang menjalankan perniagaannya tanpa lesen didenda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.
Majistret Iriane Isabelo menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Sivabalasingam, 46, selepas dia mengaku bersalah menjalankan perniagaan barang-barang lusuh tanpa lesen sah di Ananthi Metal Trading 357, di Taman Perindustrian Ehsan Jaya, Gombak pukul 8.16 malam, 8 Nov lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai 1946 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum setahun.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung tiga orang anaknya yang masih bersekolah manakala Timbalan Pendakwa Raya T.Ashvinii memohon hukuman setimpal. – BERNAMA

