KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri kasut di sebuah masjid, seorang penganggur didenda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Syamin Fikri Salehudin, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri sepasang kasut milik Tengku Ahmad Sufian Tengku Ibrahim, yang bekerja sendiri.
Lelaki itu melakukan perbuatan tersebut di Masjid Amru Ibnu Al-As, Sentul, di sini pada 8.30 malam, 13 Nov lepas mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sekiranya kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat.
Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana itu merupakan kesalahan pertamanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA

