PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak akan mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet bagi menangai isu jenayah siber, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengumumkan perkara tersebut pada sesi Town Hall Majlis Sosial Negara di sini hari ini, katanya pelantikan tersebut adalah bersesuaian dengan masalah dadah digital yang dihadapi masyarakat masa kini terutamanya mengenai ketagihaan dan pengaruh gajet.
“Gajet membawa kebaikan dan keburukan kepada masyarakat. Tanda-tanda ketagihan internet ialah rasa kecewa, serabut dan menjadi marah jika tidak dapat melayari internet.
“Mereka yang ketagih internet akan banyak berfikir tentang apa yang berlaku dalam talian dan bukannya apa yang berlalu di depan mata atau realiti sebenarnya,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, sebanyak 2,341 aduan diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari Januari hingga April tahun ini, yang antaranya melibatkan aduan jelik, palsu, lucah dan fitnah sebagai empat kategori aduan yang paling tinggi direkodkan berbanding jenis aduan lain.
Jenis aduan lain adalah pemerasan seksual, penggodaman, penipuan internet, pembelian dalam talian dan mengancam.
Dalam pada itu, katanya, SKMM telah merekodkan jenis kes jenayah siber yang terbesar pada 2014 hingga 2015 adalah mengenai kes e-perdagangan berbanding kes jenayah siber lain seperti penipuan telekomunikasi, memancing data (phishing), penggodaman dan harta intelek.
Kes jenayah e-perdagangan juga telah menunjukkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 4,087 kes pada 2015 berbanding 2,018 kes pada 2014, katanya. — BERNAMA

