SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan terhadap semua pusat agama selepas selesai menjalankan pemeriksaan aspek keselamatan pusat tahfiz di seluruh negara baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata langkah tersebut di bawah fasa kedua dijangka dimulakan dalam tempoh sebulan lagi selepas baru sahaja menyerahkan laporan mengenai tahap keselamatan pusat tahfiz kepada kerajaan.
Katanya, pusat agama lain tidak terkecuali daripada pemeriksaan tersebut memandangkan terdapat juga pusat berkenaan yang dibina di kawasan pendalaman yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran ‘Meningkatkan Kesedaran Keselamatan Kebakaran Di Premis’, di sini, hari ini.
Pemeriksaan terhadap semua pusat tahfiz dijalankan susulan insiden kebakaran Pusat Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Keramat, Kuala Lumpur pada 14 Sept lepas yang mengorbankan 21 pelajar dan dua orang guru. – BERNAMA