LABUAN – Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan harta benda bernilai kira-kira RM36 bilion dalam kes kebakaran di seluruh negara dari Januari hingga September, tahun ini.
Walaupun kejayaan itu dianggap cemerlang, kes kebakaran menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM2.7 bilion dalam tempoh yang sama.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya sentiasa mengenal pasti kelemahan untuk penambahbaikan bagi memastikan operasi menyelamat yang dilaksanakan berjalan lancar.
Beliau berkata daripada sejumlah 57,221 panggilan kecemasan yang diterima dalam tempoh sama, sebanyak 20,529 berkaitan kes kebakaran, 34,865 menyelamat dan 1,586 berhubung perkhidmatan panggilan khidmat khas.
“Dalam tempoh sama juga, kita merekodkan 94 kematian dan 287 kecederaan akibat kebakaran,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penyampaian anugerah, di sini hari ini.
Beliau turut mendedahkan sebanyak 1,060 kematian dan 5,216 kecederaan dicatat akibat kemalangan jalan raya dan lain-lain.
“Walaupun pendidikan kesedaran semakin meningkat, kami masih mencatat 286 panggilan palsu,” katanya.
Wan Mohd Nor berkata jabatan berkenaan mempunyai 286 balai bomba dengan 12,433 anggota tetap, anggota bomba bantuan (1,789), anggota bomba sukarela (13,349), anggota bomba komuniti (266) dan enam komuniti briged kebakaran di seluruh negara. – BERNAMA
