JOHOR BAHRU – Mah Sing Group memberi kontrak bernilai RM50 juta kepada Kimlun Group untuk mereka bentuk dan membina jalan raya hubungan sepanjang 2.5 kilometer ke Plaza Tol Cahaya Baru, Lebuhraya Senai-Desaru.
Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group, Datuk Ho Hoh Sang yang mengumumkan perkara itu berkatapembinaan jalan tersebut dijangka bermula pada suku pertama 2018 dan siap menjelang akhir 2020.
Mah Sing kini sedang membangunkan perbandaran Meridin East di Jalan Kong Kong, Masai, Pasir Gudang, dengan jalan tersebut akan termasuk pembinaan jejambat satu lorong sehala sepanjang 1.5 kilometer dari Jalan Kong Kong.
Ho berkata, kelulusan utama telah diperolehi daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk jalan rayahubungan tersebut, dan kini menunggu kelulusan pihak berkuasa berkaitan berhubung pelan reka bentukterperinci.
“Kimlun dipilih berdasarkan rekod pencapaian cemerlang dan kepakaran mereka dalam pembinaan jalan raya. Dalam tempoh hampir 20 tahun dalam pembinaan jejambat dan persimpangan, ada beberapa tahunmereka bekerja bersama-sama Mah Sing.
“Kami amat yakin projek pembangunan jalan raya ini akan dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penandatanganan pemberian kontrak itu kepada Kimlun Group di sini, hari ini.
Beliau berkata, jalan raya hubungan itu akan memendekkan tempoh perjalanan antara 15 dan 45 minit dari Jalan Kong Kong dan Masai ke Tanjung Langsat dan Pasir Gudang serta memberi kesan positif kepada projek Meridin East.
Dalam perkembangan lain, Ho berkata permintaan bagi hartanah kediaman bertanah di Malaysia, terutama di Johor masih baik walaupun wujud ketidaktentuan dan cabaran dalam pasaran hartanah.
Merujuk projek Meridin East, beliau berkata, kadar pembelian adalah antara 50 dan 100 peratus sejak dilancarkan pada Ogos tahun lepas.
“Kebanyakan pembeli memilih hartanah bertanah berbanding kediaman bertingkat-tingkat dan bagi Johor, kami menjangkakan unjuran hartanah kekal menarik dalam beberapa tahun akan datang,” katanya. – BERNAMA