TAWAU – Seorang juragan warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas tuduhan membawa keluar 50 tong gas memasak ke Sungai Nyamuk, Indonesia, pada awal September lepas.
Firdaus Amir, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Faisal Che Saad.
Mengikut pertuduhan, pada 8 Sept lepas jam 5.30 petang, bot jongkong dipandu Firdaus yang menghala ke Sungai Nyamuk, Indonesia, ditahan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Tawau di Sungai Melayu, Pulau Sebatik dan didapati membawa 50 tong gas petroleum cecair (LPG) berisi 14 kg setiap satu dianggarkan bernilai RM5,330.
Ia merupakan barangan kawalan berjadual di bawah peraturan-peraturan barang kawalan 1974 yang dibawa tanpa sebarang kebenaran yang sah daripada pihak berwajib dan jika disabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Majistret Mohammad Faisal menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan sebarang ikat jamin berikutan tertuduh bukan warganegara Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia Nurul Nazifah Muhammad Iyen Latif. – BERNAMA