PELAKON yang baru meningkat naik, Daler Yusuf Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Daler Yusuf turut mendapat tempias apabila dirinya dipersoal tentang permit kerja di Malaysia.
Namun aktor yang baru berusia 23 tahun ini menjelaskan bahawa dia telah mendaftar permit bekerja di Malaysia. Bahkan, kad ahli persatuan Seniman Malaysia pun dia sudah ada.
“Saya sudah mempunyai visa atau permit bekerja sejak awal tahun lalu sebelum saya berlakon lagi. Sebaik sahaja visa belajar saya tamat dan terus mohon untuk kerja pula.
“Malah, pada masa yang sama saya juga telah mendaftar kad keahlian persatuan Seniman. Jadi, tidak ada timbul masalah yang berkaitan dengan permit,” katanya dipetik laporan sebuah akhbar.
Pemuda yang berasal dari Uzbekistan ini mengakui yang adiknya, Sherzod Yusuf juga mempunyai visa untuk menetap di Malaysia.
“Adik saya masih belajar dan dia hanya ambil visa sebagai pelajar sahaja. Tapi dalam visa tersebut disediakan masa untuk dia bekerja,” ujarnya.
Dikhabarkan adik Daler Yusuf merupakan model separuh masa di sini. Nampaknya, Sherzod Yusuf pandai menggunakan visa yang diberikan walaupun waktu bekerja hanya terhad kepada 20 jam seminggu.

Beralih kepada topik kariernya pula, Daler mengakui dia turut mendapat banyak tawaran selepas pembabitannya menerajui drama Encik Suami Mat Salleh Celup dan tidak mahu mensia-siakan peluang yang datang.
Yalah.. orang kata peluang hanya datang sekali.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan penerimaan penonton dengan drama kedua saya yang baru sahaja tamat pada Jumaat lalu.
“Sejak itu, ada banyak tawaran berlakon yang saya dapat dan boleh katakan saya tidak mahu melepaskan peluang yang ada ini mengikut kesesuaian jadual,” kata Daler.
Sebelum ini, nama Daler turut menjadi sebutan apabila video dia terpeluk Nelydia Senrose semasa pengambaran tersebar dan mendapat kecaman dari netizen. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim