KUALA LUMPUR – Golongan wanita harus berani dan tidak benar bahawa dunia ini hanya dikuasai kaum lelaki, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.
Beliau berkata wanita negara ini telah memberikan tahap komitmen tinggi dalam perkembangan politik, ekonomi dan sosial, sekali gus berhak mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak.
“Wanita dianugerahkan dengan sikap lemah lembut, namun dengan kekuatan yang ada dalam diri mereka, golongan ini bukan sahaja dapat membimbing keluarga, tetapi juga masyarakat dan negara seperti Eleanor Rooservelt,” kata Azizah.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bersempena sambutan Hari Wanita bersama anggota wanita Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) di sebuah hotel di sini hari ini.
Bertemakan “Be Bold for Change” (Berani untuk Berubah), beliau menggesa wanita untuk maju ke hadapan serta bersikap positif, dan pada masa yang sama terus mencapai tahap yang tinggi dalam kerjaya mereka.
Pada majlis itu, Pegawai Tadbir Kanan Majlis Bandaraya Shah Alam Wan Suraya Sahabaludin dianugerahkan Ikon Wanita Anulae atas kerja keras dan dedikasi beliau.
Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda. – BERNAMA

