KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memastikan penyaluran peruntukan dan bantuan kepada pekebun kecil disegerakan, kata Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau berkata bagi tujuan itu, kementerian menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah mengambil beberapa inisiatif bagi membantu pekebun-pekebun kecil dalam sektor pertanian menangani masalah peningkatan kos sara hidup.
“Pekebun-pekebun kecil ini akan dilatih menjadi usahawan melalui Program Pembangunan Keusahawan serta turut diberi peluang melaksanakan Tanam Semula Dengan Tanaman Selain Getah (TSGL).
“Selain itu, rantaian pemasaran getah dan sawit juga akan dipendekkan agar pekebun kecil memperoleh harga yang lebih tinggi melalui pembinaan Pusat Timbang dan Stor (PTS) serta Depo Belian RISDA,” katanya pada Persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tuan Ramli Shariff mengenai status pemberian bantuan kepada pekebun-pekebun kecil yang berkecimpung dalam sektor pertanian bagi membantu mereka menangani masalah peningkatan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan turut menggalakkan pekebun-pekebun kecil mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) dalam sektor pertanian. – BERNAMA

