Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah yang tahu. Beberapa tahun lalu, bekas pelajar AF itu pernah mencuba nasib di negara seberang dengan menjadi pengacara di sebuah program hiburan, Selebrita Siang.
Namun, selepas tamat kontrak, dia kembali pulang ke Malaysia.
Tapi kini, Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi sekali lagi berjaya melebarkan bakatnya ke Indonesia apabila dia telah mengikat kontrak dengan label pengurusan milik vokalis Dewa 19, Ahmad Dhani.
Melalui syarikat Republik Cinta Manajemen (RCM), kedua-dua figura tersebut bakal bekerjasama dalam penghasilan sebuah album penuh.
Ia bakal menjadi satu titik tolak buat syarikat tersebut dalam penerbitan album buat artis luar.
Memetik sumber dari laman Kapan Lagi, “Ini pertama kali saya lakukan kerjasama satu album dengan penyanyi Malaysia. Sebelumnya saya pernah, tapi enggak pernah satu album.”
Dafi sebelum ini pernah bekerjasama dengan penyanyi remaja dari Indonesia, Gita Gutawa dalam kolaborasi lagu, muzik video serta iklan Cornetto. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR


