TOKYO – Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Isnin menggesa untuk tidak menggunakan kekerasan dalam menangani isu berkaitan ketegangan di Semenanjung Korea sebaliknya meningkatkan usaha diplomasi, lapor agensi berita China Xinhua.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat susulan ketegangan di Semenanjung Korea yang meningkat sejak kebelakangan ini.
Mengulas bagaimana perancangan Jepun untuk melindungi negara dan rakyatnya jika berlaku tindakan provokatif, Abe berkata walaupun Pyongyang boleh menunjukkan aspek kekuatan ketenteraan serta keupayaannya namun keamanan mesti terus dikekalkan melalui usaha diplomatik.
Menurut sumber Jepun, semasa perarakan tentera pada Sabtu Korea Utara mempamerkan kemudahan peluru berpandu dan kelengkapan ketenteraan negara itu, sehari sebelum percubaan Pyongyang melancarkan peluru berpandu balistik.
Abe berkata dialog serius dengan kepemimpinan Korea Utara amat diperlukan dalam usaha mencegah permusuhan.
Beliau berkata, kerajaannya akan terus bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Rusia serta China untuk mengurangkan ketegangan. – BERNAMA

