KUALA LUMPUR – TNB akan menyertai Pameran Pendidikan dan Kerjaya Malaysia 2017 di London mulai Sabtu ini, bagi mengenal pasti modal insan berpotensi dalam kalangan 17,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di United Kingdom dan Ireland.
Dalam satu kenyataan hari ini, TNB berkata beberapa promosi telah dibuat lebih awal bagi menarik minat calon berpotensi dan mereka yang berjaya akan terus diberikan surat tawaran bersyarat pada program selama empat hari itu.
Sasaran TNB adalah kalangan pemegang biasiswa tanpa ikatan, pelajar tajaan syarikat lain yang hadir, pelajar biayaan sendiri serta mereka yang mempunyai pengalaman kerjaya di United Kingdom.
Program itu dianjurkan oleh GRADUAN (organisasi kerjaya untuk siswazah) dengan kerjasama Majlis Eksekutif United Kingdom (UKEC) dan Education Malaysia di London. – BERNAMA

