KUALA LUMPUR – DAP memberi jaminan akan terus menentang usaha PAS memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini melalui pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.
Justeru, Pengerusi Biro Perundangan DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata DAP tidak akan menyertai perhimpunan RUU355 di ibu negara Sabtu.
“Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah membuat keputusan ini dalam satu mesyuarat pada Rabu lalu di Kuala Lumpur.
“Kami telah membuat pendirian yang jelas. Kami tidak menyokong cadangan pindaan kepada rang undang-undang itu sama ada dalam bentuk asal atau yang dipinda.
“Kami telah dan akan terus menentangnya di Parlimen,” tegas mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini membentangkan pembetangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau dikenali sebagai RUU355 di Parlimen yang bertujuan memperkasakan peranan Mahkamah Syariah.
Usaha PAS itu bagaimanapun mendapat tentangan hebat Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
Pakatan Harapan mendakwa RUU355 merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hukum hukum hudud yang bersifat menindas, kuno dan menyalahi Perlembagaan Negara Malaysia.
Berikutan itu, PAS merancang satu perhimpunan besar-besaran di ibu negara dalam tempoh terdekat sebagai tindak balas ke atas tentangan Pakatan Harapan bagi menunjukkan sokongan umat Islam ke atas usaha tersebut. -MYNEWSHUB.CC

