KUALA LUMPUR – PAS menolak perjuangan Pakatan Harapan (PH) didominasi DAP kerana didakwa berpegang kepada prinsip sekular iaitu memisahkan politik daripada agama dan gagasan Malaysian Malaysia tanpa rupa bangsa.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PAS berpegang kepada mazhab Sunni bahawa pemimpin Malaysia hendaklah dalam kalangan Melayu Islam yang mempunyai pengaruh kuat untuk menjamin keadilan kepada semua tanpa mengira perkauman.
“Fahaman sekular berkonsepkan pemisahan politik daripada aqidah atau iman menjadikan politik tidak mempunyai roh dan hanya berpandukan akal manusia semata-mata tanpa berpaksikan akidah khususnya keimanan kepada Allah dan hari akhirat.
“Fahaman ini dilihat gagal dalam memimpin masyarakat majmuk serta menangani salah laku seperti rasuah dan lain-lain. Tanpa menetapkan rupa bangsa yang bersifat luar tabii, ketetapan Allah akan dilihat bercanggah dengan fitrah manusia.
“Sehubungan dengan itu, pemimpin hendaklah daripada kalangan Melayu yang berpegang teguh kepada Islam dan mempunyai pengaruh yang kuat untuk menjamin keadilan kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Abdul Hadi berkata, konsep keadilan untuk seluruh manusia merupakan perintah Allah, maka pemimpin yang mendapat sokongan kuat daripada kaumnya diwajibkan menegakkan keadilan apabila berkuasa.
Justeru, katanya, PAS mendahulukan perpaduan Melayu Islam yang menjadi tonggak kuasa yang mempunyai pengaruh terkuat sebelum bersama pelbagai bangsa yang merupakan satu keluarga besar.
“Walaupun Islam merupakan petunjuk kepada seluruh manusia, setiap rasul memulakan perjuangannya daripada kaum bangsanya sendiri yang kemudiannya turut mendukung perjuangannya.
“Rasulullah SAW memulakan perjuangan menyatupadukan bangsa Arab dengan petunjuk Islam yang tidak memisahkan politik daripada dakwah. Allah mengingatkan kejayaan Baginda menyatukan masyarakat Arab yang paling berpecah-belah melalui firman-Nya:
“Manusia bermasyarakat majmuk madani yang berkonsepkan taqwa, mereka tidak mudah hanyut dengan fahaman liberal dan progresif sehingga tersungkur melampaui batas,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Abdul Hadi Awang


