IPOH – Kerajaan negeri Perak tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan pihak yang menyelewengkan duit atau memalsukan dokumen bagi kepentingan sendiri.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sebarang perlakuan yang mendatangkan imej buruk kepada negeri ini perlu dilaporkan kepada beliau bagi mengelak ia berleluasa.
“Kita tidak akan membenarkan budaya ini berlaku di Perak, sehinggakan ada yang berani menggunakan nama saya kononnya untuk meminta wang pendahuluan bagi kelulusan projek. Bila saya dapat tahu, saya pun amat terkejut.
“Ada juga penyelewangan yang melibatkan ratusan ribu ringgit termasuk mereka yang memalsukan dokumen. Sekiranya ada perkara sebegini berlaku, sila maklumkan kepada saya dengan segera,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di sini, hari ini.
Menurutnya perlakuan individu tidak bertanggungjawab itu akan memusnahkan kestabilan ekonomi Perak sekali gus menjatuhkan imej dan keyakinan pelabur luar dan tempatan.
Sehubungan itu, katanya semua pihak perlu perihatin dan mengambil serius perkara berkenaan untuk memastikan kelancaran projek serta perancangan negeri ini. – BERNAMA

