KUALA LUMPUR – Bekalan elektrik di Kelantan dan Terengganu kembali pulih sepenuhnya pada pukul 2 petang ini.
Pengurus Besar Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat sejak pagi ini.
“Bekalan elektrik kembali pulih 100 peratus berikutan keadaan banjir yang semakin reda di kedua-dua negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Wan Nazmy berkata, semalam sebanyak 23 pencawang elektrik terpaksa dihenti tugas di Kelantan dan di Terengganu ekoran kejadian banjir.
Menurut beliau, langkah itu perlu bagi mengelakkan kejadian litar pintas dan demi keselamatan orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, bilik gerakan banjir TNB di kedua-dua negeri terbabit masih dibuka bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik.
Beliau turut menasihatkan orang ramai menghubungi talian TNB CareLine di 15454 bagi mendapatkan maklumat lanjut. – MYNEWSHUB.CC

