SUARA perjuangan dan pembelaan daripada umat Islam khasnya dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap masyarakat etnik Rohingya di Myanmar terus hidup.
Pelbagai agenda perjuangan malah diteruskan secara istiqamah sama ada di dalam dan di luar negara.
Selain perjuangan kerajaan membangkitkan isu nasib sejuta rakyat Rohingya di platform diplomatik dunia, NGO tempatan turut aktif memainkan peranan.
Pagi Isnin, program Food For Rohingya diadakan di Sekolah Rohingya Pelangi Kasih Selayang Baru, beralamat di No.14 Jalan 4, Selayang Baru iaitu di belakang Pasar Borong Lama dekat ibu negara.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan pelbagai barangan keperluan dapur dan pakaian kepada komuniti minoriti Rohingya.
Seramai 500 set barangan diagih kepada anak yatim dan ibu tunggal etnik Muslim itu yang menjadi pelarian di negara ini.


Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar yang juga bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar tampil sebagai tetamu khas.
Penyanyi buskers yang terkenal dengan lagu Selamat Malam Rohingya, Syed Amran Al Yusuf turut mengadakan persembahan.
Sumbangan tersebut disediakan oleh pihak Islamic Relief Malaysia dan Islamic Relief Kanada.
Majlis Food For Rohingya pada hari ini dianjurkan sebagai tanda solidariti dan turut disertai pelbagai NGO tempatan. – Mynewshub.cc

