BANGKOK – Banjir yang melanda di 12 wilayah selatan Thailand sejak awal bulan ini meragut 22 nyawa dan menjejas kehidupan lebih 750,000 penduduk, kata Jabatan Pencegahan dan Kawalan Bencana negara itu.
Bagaimanapun, menurut pengarahnya, Chatchai Promlert, banjir di beberapa wilayah kini mula surut.
“Banjir juga merosakkan 1,565 jalan raya, 129 jambatan, 65 saluran paip air dan 59 empangan,” katanya dalam satu kenyataan sambil menjelaskan bahawa para pegawai akan terus memantau keadaan dan menghulurkan bantuan.
Beliau berkata laporan cuaca menyatakan angin monsun timur laut akan terus membawa hujan ke wilayah selatan dan mengakibatkan ombak hingga setinggi dua meter di Teluk Siam dan Laut Andaman.
Antara wilayah yang paling teruk dilanda banjir adalah Nakorn Si Thammarat, yang menyebabkan empat orang maut dan menjejas kehidupan 300,000 penduduk, Surat Thani (mengorbankan empat nyawa dan menjejas 120,000 penduduk) serta Songkhla dan Phattalung.
Hubungan kereta api ke wilayah selatan negara itu juga terjejas akibat bencana alam itu, katanya. – BERNAMA

